Want your
own Fotopage?







 
Aidil's FotoPage
http://aidilkhalid.blogspot.com
By: Aidil Khalid

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage] | [Track this Fotopage]
View complete fotopage

Sunday, 13-Jul-2008 15:11 Email | Share | Bookmark
Diskusi Buku Bila Nysrah Kata Tak Mahu

Mak dan ayah.
Para hadirin yang sedang menanti majlis bermula
Door gift
Ketua Editor Jemari Seni Publishing memberikan kata-kata pembuka
Para hadirin memberikan tumpuan
Puan Shaidah Shafie membicarakan novel Lili Buat Najah
Moderator memperkenalkan novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu
Puan Ina membicarakan novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu
Mendengar...
Khusyuk
Pengarang membicarakan karya sendiri?
Puan Samsiah Mohd Nor membicarakan novel Tentang... Dhiya
Beri tumpuan...
Entah! Kata jurufotonya, ini adalah seni. Betul ke?
Bila Nysrah Kata Tak Mahu
Sesi Autograf
 
 
 
 
Rakan-rakan MPR dan bengkel Pena
 
 
Maka selesailah sudah majlis Bicara Buku II Bersama Jemari Seni Publishing. Novel-novel yang dibicarakan kali ini adalah Lili Buat Najah karya Nazurah Aishah, Bila Nysrah Kata Tak Mahu karya saya sendiri, dan Tentang… Dhiya karya Syud.

Dan ternyata novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu telah mencipta kontroversi saat dibicarakan oleh Puan Ina Marjana Ulfah!

Saya akan cuba memberikan laporan seobjektif yang mungkin:

Puan Ina memulakan bicara tersebut dengan memberikan sedikit sebanyak singkatan ceritanya. Pun, beliau tidak mengisahkan secara detail, kerana katanya, memandangkan novel ini masih terlalu baharu di pasaran, makanya tentu sekali masih ramai yang belum membacanya, oleh itu, bagi mengelakkan spoiler kepada plotnya, maka Puan Ina hanya menyentuhnya secara di permukaan sahaja.

Kemudian Puan Ina beralih pula kepada perkara-perkara yang positif di dalam karya tersebut. Katanya, pengarang telah berjaya menggarap peristiwa- peristiwa di dalam novel itu dengan baik, sehinggakan pembaca dapat benar-benar merasakan dan membayangkan keadaannya. Juga Puan Ina menekankan bahawa elemen suspens dan thriller menjadikan pembaca terus berdebar-debar saat membacanya.

Mengenai perwatakannya, Puan Ina mengatakan bahawa terdapat beberapa perkara positif di dalam watak Nysrah. Gadis 17 tahun ini digambarkan sebagai mempunyai keberanian dan kecekalan yang tinggi. Selain itu, elemen persahabatan dan setiakawan sesama rakan-rakan juga dipaparkan melalui watak-watak Nysrah, Siti Hajar, dan Izziati.

Puan Ina kemudian menyentuh beberapa unsur sinis yang dimasukkan oleh pengarang. Antaranya mengenai aurat wanita, yang disampaikan melalui watak Khairul Nizam. Selain itu, menurut Puan Ina, terdapat juga elemen-elemen keislaman yang diselitkan secara tidak langsung.

Keberanian mengangkat dan mengkritik isu-isu tertentu turut disentuh oleh Puan Ina. Katanya, keberanian ini barangkali menunjukkan gelombang pemikiran yang berbeza antara pengarang muda dengan pengarang lama.

Usai mengulas elemen-elemen positif, Puan Ina kemudian melanjutkan dengan perkara-perkara negatif, yang menurutnya, beliau sangat-sangat tidak bersetuju, yang terdapat di dalam novel tersebut. Nah, di sinilah kontroversinya. Puan Ina menyatakan ketidak senangan hatinya kepada watak Nysrah yang digambarkan bertudung labuh, tetapi telah membiarkan tangannya dipegang dan diramas oleh lelaki bukan mahram. Selain itu, jalan penyelesaian yang diambil oleh Nysrah dalam menyelesaikan masalahnya, menurut Puan Ina, adalah sangat-sangat negatif, dan tidak seharusnya dipaparkan di dalam sesebuah karya kerana dikhuatiri akan memberikan impak negatif kepada pembaca. Selain itu, menurut Puan Ina lagi, pengarang harus lebih bijak menggunakan teknik yang lebih berkias dalam memaparkan isu-isu sensetif seperti rogol, dan sebagainya.

Setelah selesai Puan Ina membentangkan ulasannya, maka tibalah pula sesi soal jawab. Ketua Editor Jemari Seni Publishing – Noor Suraya Adnan – bangun bagi menyangkal beberapa pendapat daripada Puan Ina tadinya. Antaranya, beliau mengatakan bahawa elemen-elemen negatif yang dipaparkan di dalam novel itu bukanlah dipaparkan oleh pengarang saja-saja tanpa sebarang matlamat. Sebaliknya, katanya, elemen itu bertindak sebagai pengajaran. Lebih-lebih lagi, di bahagian lain novel itu, pengarang telah memberikan kaffarah yang sepatutnya kepada elemen-elemen negatif yang digambarkan pada bahagian-bahagian yang lebih awal itu. Selain itu, menurutnya lagi, elemen taubat setelah melakukan sesuatu yang buruk, adalah sesuatu yang positif, dan tidak harus dipandang sebagai sesuatu yang negatif.

Kemudian bangun pula seorang lagi khalayak, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai pengkritik bebas. Menurut pengkritik bebas itu, beliau sudah lama tidak membaca karya-karya yang ditulis oleh golongan remaja, namun mutakhir ini, sedang kembali berusaha untuk berjinak-jinak dengan karya golongan ini. Katanya, beliau mengesan satu kelemahan ketara dalam karya-karya golongan muda, iaitu gaya penulisan yang terlalu langsung serta tidak halus. Pengkritik bebas itu turut menyentuh beberapa pemilihan kata yang kurang tepat di dalam novel ini (walaupun ada beberapa yang saya kurang bersetuju, seperti tentang Gunung Kosciousko).

Setelah selesai sesi soal jawab, Puan Ina kemudiannya memberikan pendapat secara keseluruhan tentang novel ini. Menurutnya, secara penghayatannya, novel ini adalah sebuah novel yang memberikan harapan.

Maka selesailah sesi bicara Bila Nysrah Kata Tak Mahu.

Oops! Saya sangkakan sudah tamat. Tetapi ternyata moderator mempunyai rancangan spontannya yang lain. Katanya, dia ingin mendengar ulasan daripada pengarang novel Bila Nysrah Kata Tak Mahu terlebih dahulu; biarpun tidak terdapat di dalam aturcara, tetapi memandangkan perbincangannya agak hangat, maka pengarang wajar diberi peluang, katanya.

Maka bangunlah saya, terkalut-kalut, dan berdebar-debar juga. Ha! Ha! (Maklumlah, tak bersedia)

Saya memulakan kata-kata dengan mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Puan Ina dan juga kepada pengkritik bebas tadi. Kemudian saya mengatakan, bahawa menurut pandangan yang dikemukakan oleh Roland Barthes, seseorang pengarang itu seharusnya mati sebaik sahaja karyanya siap. Mati di sini, tentunya bukan bererti mati secara literal, sebaliknya sekadar bagi menggambarkan bahawa seseorang pengarang itu tidak lagi harus membicarakan karyanya sendiri setelah ia terbit. Hal ini penting, bagi memberikan kebebasan kepada pembaca dan khalayak memberikan intepretasi yang tersendiri akan karya tersebut, serta supaya khalayak tidak dipaksa memberikan makna yang diinginkan oleh pengarang sahaja. Saya kemudian mengambil contoh pelukis Picaso, yang dalam lukisan-lukisannya, kadang-kadang sengaja membiarkannya kelihatan seperti sebuah karya yang tidak siap. Alasannya, kerana menurut Picaso, andai lukisan itu dibiarkan siap, makanya lukisan itu akan mati, dan khalayak tidak lagi dapat memberikan interpretasi yang tersendiri. Dalam kata lain, sesebuah karya itu harus bebas diberikan makna oleh para pembaca. Dan oleh kerana itulah, kata saya, saya tidak wajar memberikan komen balas terhadap apa-apa yang telah diperkatakan tadi – sama ada kata-kata pujian mahupun kritikan.

Apa-apa pun, saya harus berterima kasih banyak-banyak kepada Puan Ina Marjana Ulfah, atas kupasan beliau tentang novel sulung saya ini. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan, dan semua hadirin yang hadir bagi memeriahkan majlis diskusi novel-novel tersebut.

Ketika selesai majlis, dan tiba sesi kudapan, guru saya ketika Minggu Penulis Remaja 2007, Kak Salina Ibrahim, sempat menitipkan pesannya. Katanya, ini adalah suatu permulaan yang baik. Apa-apa pun, katanya, saya harus terus belajar bagi memperhalusi gaya penulisan. Terima kasih, Kak Salina!

Memang saya sentiasa percaya, bahawa menulis adalah suatu proses belajar yang amat panjang. Amat-amat panjang.


*Gambar-gambar diambil oleh Azizi Khalid.

Tahniah sahabat! Bila agaknya saya dapat siapkan projek novel saya. Hm... Sat 19-Jul-2008 15:34
Posted by:Razif A. Rahim almarbawi@gmail.com  - [Link]


Add your comment
Name
Email (optional)
Register for updates Register for this Fotopage update (requires email)
Register for entry comments update (requires email)

More...
Link URL (optional)
verification Code
fill in the below number in the box





View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.